24 Oktober 2009
Cerita aku, nenek dan Tyra
Petang semalam aku berkejar balik ke kampung menjengok nenek aku yang sakit. Malam jumaat sebelum itu aku menjaganya di Wad Rajawali, Hospital Kuala Krai setelah nenek dimasukkan ke hospital kerana demam teruk.
Malam aku menjaga nenek, ramai keluarga aku datang melawat pada petangnya. Mak Nab, bonda saudaraku dari Terengganu bergegas datang. Tetapi oleh kerana Mak Nab sendiri ada penyakit darah tinggi, aku tawarkan diri untuk menemani nenek di hospital.
Selepas waktu melawat habis, nenek mula tidak berhenti bercakap. Aku rasakan bagaikan melayan orang tua yang lain bukan nenekku sebelum ini. Nenek juga bagaikan cukup kuat dan bertenaga. Sebelum itu dia agak lemah dan hanya berbaring sahaja. Sebenarnya nenek aku ini sudah berusia 90 tahun. Dia boleh bangun dari katil dan cuba berjalan ke tandas. Apabila aku mengambil kerusi roda dia enggan duduk. Dia cakap dia malu duduk di kerusi roda kerana dia dah sihat.
Maka terpaksa memimpin dan memeluknya agar tidak jatuh semasa di tandas. Aku juga menemaninya sehingga ke dalam tandas. Dia enggan apabila aku hendak menolongnya untuk mencebok air.
" Tak payohlah.. aku kuat lagi ni.."
Sebelum ini nenek aku pun memang seorang yang kuat dan berdikari.
Selepas ke tandas, nenek berjalan ke katil semula. Semasa sampai di katil nenek perasan kerusi roda yang aku letakkan di tepi katil untuk membawanya ke tandas. Dia memberitahu teringin hendak menaiki kerusi roda. Aku tetap melayani kehendaknya. Dia meminta aku menolaknya sekeliling katil. Aku ketawa sahaja melayani gelagatnya itu.
Nenek juga bersungut malu apabila aku memujuknya makan dengan menyuapnya. Dia cakap malu lah orang tua makan bersuap. Tapi aku tetap memaksanya makan .
Tak sampai 5 sudu makan dia enggan lagi membuka mulut. Terpaksalah aku menghabiskan nasi sebungkus besar itu.
Selepas itu aku meminta nenek berbaring di katil. Kali ini dia enggan baring walaupun jam dah pukul 1.00pagi. Dia cakap tidak mengantuk. Aku pula bernasib baik kerana sambil melayani nenek berbual, aku dapat melayari internet kerana di Hospital itu ada free wifi 3Com.
Nenek pula bertanya bermacam-macam soalan yang remeh-temeh dan setengahnya tidak masuk akal.
Apa yang paling menakutkan aku apabila dia memberitahu hendak ke arah tingkap kerana ada orang yang memanggilnya dan menunggunya untuk balik. Katanya lagi orang itu menunggunya dalam kereta. Lampu kereta sudah lama terpasang kerana menunggu nenek untuk mengajak nenek pulang. Aku pula terpaksa memegang nenek kerana dia hendak bangun dan pergi ke arah tingkap.
" Tak boleh mok, kita lo ni dok tingkap 2 bukan tingkap bawah.."
" Ehhh.. Kesian ore tu, tunggu nak ajok mok kelik.."
"Mana ada ore mok.., tu bumbung bangunan depan nun.. Tak ada sapa-sapa pun panggil mok.."
"Tu.. ada ore panggil nak ajak balik.." Dia meronta-ronta dari pelukan aku..
Tenaga nenek aku masa tu luar biasa juga kerana aku terpaksa memeluknya dengan kuat sambil memujuk dia baring. Aku membaca Ayatul Kursi sebanyak 3 kali dan menghembuskan di telinga dan menghembus di tapak tanganku dan menyapu ke muka nenek serta badan sehinga ke kaki beliau. Alhamdulillah, nenek tenang seketika dan mula baring. Aku memujuknya tidur dan memejam mata. Di waktu itu aku terasa sangat berdebar dengan tingkah laku nenek yang tidak seperti biasa. Aku membisikkan syahadat dan menyuruh nenek mengucap sebelum dia perlahan-lahan menutup matanya. Aku menarik nafas lega apabila nenek mula berdengkur. Aku juga mula berbaring di kerusi panjang dan mula memejamkan mata. Ketika itu jam sudah pukul 3.00pagi.
Belum pun sampai setengah jam terlena.. kerana aku terpandang jam yang terletak di dinding wad menunjukkan pukul 3.27pagi.. Aku rasa seseorang berdiri di hujung kaki aku dan telah memijak kaki kananku. Aku terus membuka mata. Nenek sedang berdiri sambil membetulkan kain yang hampir terlondeh..
"Mok nak gi mana tu.." Aku terkejut amat melihat nenek yang tegap berdiri melangkah melintasi aku.
" Tu.. nak gi tengok kreta sapa dok tunggu takdi.. lampu tak tutup cerah.. Kesian dia tunggu mok.."
Nenek juga beritahu dia sudah tanggalkan jarum yang dipasang untuk masukkan air drip. Mujurlah tidak berdarah.
Adooi.. Dia datang lagi.. Aku terus pegang badan dia dan memujuknya duduk di katil.
Dia meronta-ronta hendak pergi ke arah tingkap yang kelihatan cahaya dari luar. Kebetulan ada seorang makcik yang sama-sama menunggu keluarga sakit datang menghampiri katil nenek.
"Mokcik nak gi mana.. ?"
"Tu nak gi depan tu.. ada kereta tunggu ajak balik.." Beritahu nenek.
" Takdok sapo pun .. Ore tu dah kelik doh.. Mokcik tido lah.. Esok nati buleh kelik.."
Makcik yang baik hati itu juga menolong memujuk nenek. Nenek diam.
Tapi kemudian nenek membebel pula hal lain. Marah pasal ditinggalkan oleh adik lelaki aku. Aku memberitahu nenek bahawa adik aku tidur di dalam kereta. Nenek diam seketika. Tapi dia sambung pula bercerita hal lain dengan makcik itu. Aku betul-betul pening dengan kerenah nenek. Dalam hatiku kalaulah nenek ni budak kecil dah lama aku lempang. Nenek betul-betul mengamuk apabila aku enggan membenarkan dia bangun. Aku menutupi tubuh nenek dengan selimut hingga ke paras leher sehingga dia sukar untuk bergerak. Dia membebel dan hanya beritahu hendak balik ke rumah. Dia hendak siapkan tikar mengkuang dan tengok kebunnya. Aku pujuk agar dia tidur kerana kena tunggu hari siang baru boleh balik. Namun nenek enggan. Apabila selimut yang menutupi tubuhnya terlerai dia terus duduk. Nenek memberitahu hendak ke tandas pula.
Aku membawanya ke tandas.
Nenek tidak tidur sampai ke siang. Dia asyik mintak hendak balik. Dia memberitahu sudah sihat. Dia juga cuba hendak menanggalkan jarum yang dipasang oleh jururawat malam setelah jarum pertama dia buang sendiri. Dia seolah-olah tidak merasa sakit apabila memusing-musing jarum di tangannya untuk mennaggalkannya.
Selain itu nenek juga bertanya siapakah perempuan berbaju putih yang berdiri di tepi katilnya dan berwajah putih melepak. Nenek cakap perempuan itu mengajak dia balik. Apa yang aku rasa di saat itu ialah....bulu roma aku meremang... Ishh..ishhh nenek ni.. dah ler duduk kat hospital...
Nenek juga ada bercerita dia nampak sekumpulan orang sedang buat kenduri dan makan minum di dalam wad itu. Tetapi orang-orang yang dia nampak itu tidak mempedulikan dia serta tidak mempelawa pun dia makan. Nenek juga bercerita hal lain. Apabila dia memandang ke atas , dia bertanya apakah benda-benda yang tergantung seperti belon itu. Ada orang menjual apa kat situ.
Dia juga bersungut pasal duit yang orang datang melawat dan beri padanya. Dia minta aku mencari di bawah katil kerana katanya mungkin ada duit dia terjatuh di situ.
Kesimpulannya.. Menjaga nenek satu malam di wad Rajawali , Hospital Kuala Krai memberi aku satu pengalaman baru yang aku rasa gembira dapat menemani nenek, terharu kerana dapat membantu nenek ku sendiri, namun aku jadi takut, bimbang, sedih dan tak mahu ke hilangan nenek. Aku juga jadi marah dan menengking nenek dengan nada tinggi apabila nenek enggan berhenti bercakap kerana dia telah mengganggu pesakit lain berehat. Selain itu aku juga jadi takut dan seriau mendengar dan melayani nenek bercakap di malam itu. Sementelah .. malam jumaat... di hospital pula tu... Tingkap dua... Alahai nenek aku yang keliru...
Pagi esoknya, selepas sepupu aku datang untuk mengganti tempat aku, aku balik ke Lata Rek. Tersengguk juga menahan mengantuk masa pandu kereta. Pasang radio kuat-kuat....
Samapai kat rumah, Tyra baru bangun tidur.. Dia sedang menunggu bondaku membuat susu untuknya. Apabila ternampak aku balik, Tyra terus bersembunyi di sebalik langsir kat dapur.
"Tyra.. mari sini sayang.. mama peluk sikit.."
Tapi dia enggan dan terus sembunyi di situ. Hemm..merajuklah tu.. Aku terpaksa menuju ke arah Tyra dan memeluknya.. Dia memalingkan muka ke arah lain.
Hehehe.. puteriku sedang merajuk.
Aku mendukungnya dan membawanya ke ruang tamu dan membaringkannya di depan TV sambil minum susu.
Apabila habis sebotol baru Tyra mula tersenyum.. Aku memeluknya dan mencium pipinya bertalu-talu. Rindu amat kepada puteriku ini. Abang-abangnya ada yang belum bangun tidur. Hanya Boboy yang berada di bilik air. Aku memeluk anak-anakku sambil melayani Tyra makan sarapan nasi goreng yang bondaku masak.
Kebetulan pula Mak Nab dan Mek datang. Aku keluar semula membawa kedua-dua ibu saudaraku untuk melawat nenek di hospital. Tyra hanya melambai tangan kepadaku begitu juga abang-abangnya.
" Nanti mama balik lusa ya.." Ucapku kepada anak-anakku.
Aku terus membawa Mak Nab dan Mek ke hospital. Kemudian aku meneruskan perjalanan ke KB kerana aku perlu masuk praktikal pukul 2.00 petang.
Dua hari tidak menjengok nenek aku menjadi rindu. Semasa aku menelefon kampung , bonda ada memberitahu nenek hendak berjumpa aku. Selepas habis kerja pukul 2.00 petang aku berkejar balik ke kampung. Aku sampai kira-kira pukul 3.55petang di rumah. Selepas mandi, aku membawa Tyra bersamaku ke rumah nenek.
Keadaan nenek hari ini tidak seperti di hospital semasa aku menemaninya malam jumaat itu. Nenek sudah bercakap seperti biasa . Dia tidak lagi bercakap merapu. Mek dan Mak Nab berpakat membuat kenduri solat hajat dan pulut kuning. Alhamdulillah nenek jadi seperti sebelum ini.
Namun, nenek ada juga bertanya kepadaku kenapa orang-orang yang buat kenduri semasa aku menemaninya, tidak mempelawanya makan. Aku hanya menggeleng kepala.
"Kat wad, bukan tempat kenduri..
Hampir 1 jam di rumah nenek, aku bersama Tyra balik. Zaza pula hendak mengikut apabila aku memberitahu hendak ke KB semula. Puas juga pujuk anak-anak yang hendak mengikut.
Akhirnya Tyra dan Zaza melambai-lambai tangan kepadaku. Sayu juga rasa hati hendak meninggalkan anak-anak. Semoga anak-anakku sentiasa dalam perlindungan Allah.
Lihatlah foto Tyra dan Zaza yang sempat aku snap sebelum aku masuk ke dalam kereta.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan