27 September 2011

Susu Dalam Diet Kanak-Kanak

Susu merupakan sumber pemakanan penting yang sering kali diambil ringan oleh ramai orang. Ia bukan sahaja penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar malah sepanjang hayat.

Sebenarnya susu atau susu badan, merupakan makanan pertama bayi dan satu-satunya sumber pemakanan semasa enam bulan pertama kehidupannya. Ia membekalkan semua zat makanan penting yang diperlukan untuk hidup dan tumbesaran.

Bagaimanapun, susu masih perlu dijadikan sebahagian daripada diet kanak-kanak selepas usia enam bulan. Di samping mengandungi kalsium, ia turut mengandungi zat makanan penting lain seperti protein, vitamin A, riboflavin, zat besi dan fosforus yang penuh dengan manfaat kesihatan.

Penyelidikan sentiasa menunjukkan kanak-kanak dan dewasa yang minum susu akan kurang berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular, obesiti dan osteoporosis.

Mengapa susu?

Anda mungkin tertanya mengapa susu penting dalam diet kanak-kanak. Mengapa tidak makanan atau minuman lain?

Susu kaya dengan kalsium. Kalsium disarankan untuk kanak-kanak yang sedang membesar kerana ia memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan dan kesihatan gigi dan tulang yang kuat.

Pengambilan susu yang mencukupi dari peringkat kanak-kanak bukan sahaja boleh mencegah osteoporosis di kemudian hari, malah ia turut membantu mencegah kehilangan kalsium dan fosfat daripada gigi bagi memastikan satu set gigi yang lengkap sepanjang hayat.

Di samping itu kalsium juga penting untuk melancarkan degupan jantung, pemulihan luka dan pengecutan otot.

Menurut Saranan Pengambilan Nutrien (zat makanan) atau RNI, kanak-kanak kecil antara usia satu hingga tiga tahun memerlukan sekurang-kurangnya 500 miligram (mg) kalsium sehari yang boleh diperoleh dengan mudah daripada 1-2 cawan susu.

Sebagai satu daripada makanan yang paling lengkap zat, susu membekalkan sejumlah besar zat makanan berbanding kepada jumlah tenaganya.

Sebenarnya, segelas susu mengandungi lebih banyak zat makanan daripada segelas jus epal, jus oren atau sebarang minuman lain (lihat jadual).

Susu juga menghilangkan rasa lapar dengan segera. Tahukah anda bahawa 32.1 peratus kanak-kanak di Malaysia tidak bersarapan pagi setiap hari.

Setelah berpuasa selama 8-10 jam semasa tidur, sarapan pagi yang berkhasiat adalah penting untuk mengembalikan tenaga.

Semua orang tahu bahawa kanak-kanak yang tidak bersarapan pagi kurang bertenaga, tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah dan mudah letih serta rasa jengkel.

Segelas susu suam adalah baik sebagai sarapan pagi ringkas dan segera, terutama sekali apabila diambil bersama makanan lain, kerana ia sangat berkhasiat dan mengandungi semua mineral dan vitamin penting yang diperlukan untuk tubuh dan minda yang sihat.

Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Ditulis oleh:
Prof.Madya Dr. Norimah A Karim (Pakar Pemakanan)