01 Mei 2026

Akhirnya Kembali Ke Bumi Pahang Negeri Kelahiran Tyra Iskina

 Rezeki untuk perubahan dan siapa sangka kali ini aku berpeluang kembali bertugas di negeri kelahiran puteriku. Nun di tanah tinggi yang sejuk aku membawa bersama keluargaku merantau sekali lagi. Namun puteriku paling suka kerana dapat bermastatutin di negeri kelahirannya walaupun berbeza daerah. 

Dia sanggup menemaniku mulanya dan meminta untuk bersekolah di sini walaupun selepas SPM hari itu dia mendapat keputusan yang agak baik, dia menolak tawaran Matrikulasi di Kedah, UPSI di Perak dan satu lagi aku lupa apa dah. Dia rela memanjat bukit sejauh 200 meter untuk kembali ke rumah setiap kali balik sekolah. tiada rungutan walaupun bukit di sini agak tinggi tapi dia tidak mengeluh penat atau lelah. Semangatnya setiap hari ke sekolah berjalan kaki amat aku kagumi.

Di sini aku diberi tempat tinggal yang agak selesa dengan 3 bilik tidur dengan kadar bayaran yang agak murah dibandingkan menyewa sendiri. Awalnya aku tidak bercadang untuk membeli perabot dan peralatan yang lengkap namun selepas setahun mendiami di sini, aku tanpa sedar membeli sedikit demi sedikit perabot dan peralatan rumah hingga akhirnya ia menjadi sebuah rumah yang lengkap untuk di diami. 







Setiap hujung minggu aku akan tetap lari turun kembali ke rumah sendiri merindui hangatnya rumah sendiri. Melihat tanaman dan angin pagi dari air terjun. Dua hari dua malam di rumah sendiri terubat kerinduan. Indahnya tempat baru rumah sendiri tetap dirindui.

Di tempat baru selain suhunya yang agak sejuk sehinggakan diawal-awal berada di sini, kami sekeluarga terpaksa memakai baju tebal sepanjang hari. Malahan lena di waktu malam dengan selimut dan comforter sehingga 5 lapis.Kini setelah setahun lebih bermastautin di sini kesejukan itu daat di atasi. Baju pun dah tak tebal. Kadang-kadang waktu malam selimut nipis sahaja digunakan. 

Apa pun bersyukur kerana tidak pernah dijangka akan bermastautin di sini mencari rezeki halal. Syukur Alhamdulillah.

#Foto ini adalah edit menggunakan AI 

11 Februari 2024

Bermain dengan Bing Image Creator

 Cantik pula gambar karikatur yang terhasil dari prompt merapu yang aku buat dekat Bing Ai Image Creator. Benda free yang melekakan bila berilustrasi di sini. Apa yang difikirkan dan tertulis tidak sama dengan apa yang diterjemahkan oleh Bing Creator. Mintak tulis nama Aron Kin dan Iskina di baju dua orang berbeza tapi sebaliknya berlaku.

Tapi gambar yang dihasilkan nampak cute pula. Walaupun nama tulis salah tapi sayang pula nak delete. Akhirnya aku simpan juga untuk dijadikan koleksi diawal bermain dengan Image Ai.

Aku rasa Ai di Bing lagi cantik dari yang Canva punya Magic Ai. Bukan aku tak sukakan Canva tapi semenjak terjebak dengan Bing Ai ni aku lebih leka berilham menafsirkan mimpi-mimpi melalui tajuk novel milikku yang masih belum siap sampai ke sudah. 

Aku rasa panduan Ai memberi idea untuk aku merekacipta sendiri cover ebook. Sekarang ini aku tengah menyiapkan mss untuk ebook terbaru. Kisah yang sama tapi dalam garapan berbeza.
Setelah hampir 16 tahun bersama blogspot ini banyak karyaku yang aku terhasil dan letakkan untuk bacaan percuma. Terima kasih untuk peminat rahsia yang sudi email kat aku. : aronkin2013@gmail.com

19 Julai 2023

Tyra Iskina dah Remaja

 


Pejam celik- pejam celik dan masa pun terus berlalu. Semalam aku masih terngiang-ngiang suara nyaring puteriku di Dewan Bersalin Hospital Temerloh (Dikenali sebagai HOSHAH sekarang ni) sehingga menarik perhatian petugas-petugas waktu itu. Satu-satunya baby girl yang lahir sebelum subuh sehinggalah pertukaran shift jam 7.00 pagi. Kehadiran puteriku  meniti di bibir petugas pada hari itu.
"Baby mana tu kuatnya suara?"
"Baby AK..."
"Lelaki ke Perempuan?"
"Perempuan. Satu-satunya baby girl pagi ini..."
Aku dan petugas di situ kebanyakannya aku kenal kerana kami pernah bertugas bersama sebelum ini dari Wad Bersalin Hospital Mentakab dan seterusnya ke HOSHAH, sebelum aku berpindah ke KKBM waktu itu. 
Selepas beberapa jam berehat, aku dan bayi kecilku dipindahkan ke Wad Kenanga 2 Posnatal. Di situ aku juga pernah bertugas. Mungkin hari itu aku mendapat layanan istimewa kerana petugas-petugas hari itu adalah teman-teman yang pernah berkerja bersamaku juga sebelum ini. Aku adalah di antara petugas terawal yang bekerja semasa di awal pembukaan Hospital tersebut pada tanggal 25hb April 2005. Kemudian aku berpindah ke KKBM dan kami masih menyapa setiap kali bersua.

Walaupun aku bekerja, aku tidak pernah mengabaikan puteriku dengan memberinya susu badan sehinggalah aku menyambung pelajaran. Kesibukan dengan pelajaran membuat pengeluaran susu ibu berkurangan kerana waktu itu aku kesuntukan masa untuk memerah susu. Bayi kecilku sempat aku susui sepenuhnya sehingga usianya 1 tahun sebulan. Aku terpaksa membawanya balik ke kampung dibawah asuhan neneknya. Aku pula menyewa sendirian berdekatan tempat pengajianku, berkongsi rumah sewa dengan rakan sepengajian. Sekiranya ada peluang aku akan balik menjenguk anak-anakku. Aku pernah pulang memandu sendirian waktu itu jam sudah 12.00 tengahmalam. Perjalanan ke kampungku mengambil masa 2 jam. Aku sekadar balik dan mencium anak-anakku yang sedang tidur sebelum bergegas balik ke rumah sewa sebelum subuh. Aku pernah beberapa kali membuat kerja gila itu lantaran melempiaskan kerinduan kepada anak-anak. Sehinggalah ibu melarang demi keselamatanku kerana aku memandu sendirian di malam buta, waktu itu juga tersebar pembuli atau penculik di jalan raya membuat aku menghentikan kedegilan itu. 
Selepas tamat pengajianku itu, aku kembali bersatu dengan anak-anak dan suami. Aku berpeluang melihat anak-anak membesar dan bersekolah. Puteriku juga memasuki alam persekolah Pra 6 Tahun pada Januari 2013. Aku mengambil cuti pada hari tersebut untuk menghantar puteriku bersekolah bersama papa yang menemani. 
Perbezaan puteriku dengan murid lain ialah, dia kelihatan berdikari semasa guru kelas menjemputnya. Langsung tiada tangisan hanya wajah mendung bila dibawa ke kelasnya. Aku dan papa sempat mengintai melalui tingkap melihat puteri kecilku bersekolah. Dia kelihatan agak kekok berada di tengah teman baru dan suasana baru. 
Tamat waktu perskolahan pada hari itu, aku dan papa menjemputnya. Dia kelihatan ceria dan berlari ke arah kami. Bercerita perihal temannya yang lain menangis ditinggalkan ibu bapa.
"Adik tak menangis ke?"
Namun pada Julai 2013, aku sekali lagi menyambung pelajaran berkursus selama setahun di IKU Bangsar. Kali ini aku tinggal di asrama di sana. Papa juga lebih banyak berada di KL maka sekali lagi anak-anak aku tinggalkan dengan nendanya. 
Semasa puteriku menjejak kaki ke darjah 1, aku kebetulan mendapat cuti semester jadi dapatlah menghantar puteriku bersekolah. Tiada ragam dan agak berdisiplin, mudah diuruskan itulah puteriku Tyra Iskina.

Kini dia sudah semakin remaja. Mendapat perhatian dan pengawasan dari abang-abangnya.

"Tyra, mana setokin..." Tegur si abang bila si adik kecilnya keluar rumah berselipar nampak kaki. 
"Tyra, jangan pakai baju lengan pendek..."
"Tyra... jangan bergaul dan jaga aurat awak dengan sepupu lelaki awak. Awasi pergaulan dengan bukan mahram..."
Itulah ucapan yang aku terdengar dari abang-abangnya bila melihat si adik keluar rumah. Alhamdulillah si adik akur dengan abang-abang yang terlalu menjaganya. Walaupun di dalam rumah si adik kerap di buli oleh abang-abangnya sehingga menangis.
Syukur pada-Mu Ya, Allah! Syukur aku dikurniakan anak-anak yang sihat fizikal dan mentalnya serta menjaga agamanya.