07 Januari 2009

Cerita Dari Dapurku

Hari ini bersendirian di rumah. Saat yang amat memboringkan. Boboy, Junjun, Zaza dan Tyra ikut neneknya balik kampung semasa nenek singgah sini dari rumah ayah Wan. Sudah empat hari mereka di kampung. Hari ini pula aku mula bercuti selama enam hari untuk persiapan aku hendak ke Kubang Kerian. Semalam aku juga telah meminta bantuan Doktor Mai untuk menjadi saksi semasa aku mengisi borang perjanjian. Setem hasil sebanyak RM30.00 belum beli lagi.  Lagi pun masih ada 15 hari lagi dari tarikh aku melaporkan diri. Masih punya waktu sebenarnya untuk aku menyiapkan tugasan terakhir sebelum aku berlepas ke sana dan menjadi warga sana selama setahun. 
Bersendirian di rumah ini juga memberi aku peluang untuk menyelongkar gerobok dapur mengemas dan menyusun barang-barang yang aku rasa perlu untuk kusimpan atau tidak. Kotak yang aku simpan barang-barang untuk buat kuih raya puasa lepas masih banyak bahan-bahan yang belum aku guna. Gandum, gula, tepung kastard, tepung jagung, marjerin, coklat dan maca-macam lagi masih banyak belum aku guna. Ada setengah yang dah dipenuhi oleh kutu beras. Terpaksalah aku pejam mata buang dalam tong sampah mana yang dah rosak.
Bersendirian ini terfikir nak buat kek. Sebelum ni Boboy dan Junjun selalu mintak aku buat kek. Walaupun aku tak berapa pandai sangat nak membuat kek ini tapi hasil tangan aku menjadi santapan anak-anak hingga licin. Antara resipi kek yang biasa aku buat ialah kek coklat. Sebenarnya aku tak tahu nama apa yang sesuai nak bagi pada kek ini tapi disebabkan resipi ini diberi oleh teman sepejabat aku yang bernama Kak Fatimah maka aku panggil resipi ini ialah Kek Coklat Kak Timah.


Inilah resipinya:



KEK COKLAT KAK TIMAH


Bahan-bahan:

3 biji telur

1 cawan margerine planta

1 cawan tepung gandum

1 cawan gula halus

3 sudu serbuk koko

1 camt baking powder

1 camt esen vanila



Bahan Koko Filling:

½ cawan planta

4 sudu gula icing

6 camb susu pekat manis

2 camb serbuk koko




Cara Membuat kek:

Pukul planta hingga gebu. Masukkan telur sebiji demi sebiji sehingga sebati. Masukkan gula halus dan sebatikan. Akhir sekali masukkan tepung gandum yang telah diayak bersama serbuk koko dan baking powder. Putar hingga sebati. Masukkan esen vanila dan bakar hingga masak.



Untuk Filling:

Bancuh bahan dan masak di atas api sederhana kecil hingga pekat. Jangan lama sangat sebab ia akan jadi cair dan tidak melekat di kek pula. Bila pekat sapu di kek yang telah di sejukkan. Dan biar hingga filling mengeras di kek baru cantik.

Aku dah mencuba dekat lima kali buat kek ini dan ianya tidak pernah menghampakan aku malahan ianya agak sedap dan enak pada citarasaku. Cara nak membuatnya juga amat senang dan resipi ini juga telah aku panjangkan kepada teman-temanku yang lain dan semuanya memuji keenakan dan cara membuatnya yang senang juga dikiranya. Boboy, Junjun, Zaza dan Tyra makan sampai licin. Papa Tyra juga memuji bila merasa kek ini. Aku juga ada membawa ke pejabat untuk teman-temanku rasa dan mempersembahkan kepada guruku, semua memuji. Puas hati jugalah dengan hasil tanganku ini. Walaupun aku agak kaku dalam bab menghias kek dan tak berapa cantik pada pengelihatan tapi pada rasanya memang tidak mengecewakan. Lihatlah hasil tangan ku ini. 

Tiada ulasan: