19 Oktober 2017

Santai Angin Malam

Bunyi cengkerik dan unggas malam bersahutan. Hembusan gemalai udara malam selepas hujan menepis dingin di kaki yang bersarung batik. Bunyi monyet atau mungkin kera di seberang jalan jelas kedengaran.
Aku pandang wajah papa. Tiada reaksi spontan. Hanya aku yang teruja mendengar suara kera yang bersahutan. Aku pandang wajah Tyra yang berdiri di sisi papa. Huh! Sama aje anak dan papa leka menonton video lucu dari ipad milik papa.
Aku pandang lagi ke arah kebun getah bonda seberang jalan. Jarak tak sampai pun 30 meter dari tempat aku berehat menikmati angin malam. Lampu suluh aku halakan ke arah bunyi yang bersahutan. Hampa kerana ketelusan cahaya tidak sampai ke mana pun pantulannya.
Aku mula bercanda cuba menarik perhatian. Namun hanya aku yang bersuara. Papa dan Tyra masih leka di skrin ipad.
"Abang, cuba dengar tu bunyi bising ?" Perlahan aku tampar lengan papa. Dia hanya mengangkat wajah sekilas. Matanya tajam merenung ke arah kegelapan malam. Wajahnya polos tanpa bicara.
" Kalau sekitar tahun 80an bunyi bising kera begitu petanda pak belang ada berdekatan," aku sambung bercerita. Papa diam. Matanya beralih semula ke skrin ipad.
" Mama, pak belang tu macam zebra ke ?" Tanya Tyra seakan berminat. Aku ketawa kecil. Terasa lucu dengan pertanyaan puteri comelku.
" Zebra tu kuda belang. Tak ada kat kawasan kita ni ," jawabku sambil ketawa yang masih bersisa.
" Pak Belang tu nama manja bagi harimau. Masa mama kecil, kalau bunyi kera bersahutan macam tadi petanda ada harimau dekat kawasan ni ." Aku sambung cerita.
" Mama pernah tengok ke pak belang ?"
" Kat kampung tak pernah. Tapi kat Zoo Negara yang kita pergi hari tu, mama tengoklah ," jawabku lagi.
" Masa mama kanak-kanak, siang hari hanya jumpa tapak pak belang aje. Beruk peliharaan pokcik bapak saudara mama pernah kena serang oleh harimau. Pokcik cakap harimau kumbang. Mama tak tengok pun tapi esoknya mama tengok beruk peliharaan pokcik mati dan ada kesan gigitan dekat leher dan badannya."
Tyra pegang lengan aku. Terasa jemarinya panas suam menyentuh kulitku.
Papa tutup ipadnya. Dia bangkit bersama ipadnya meninggalkan meja santai depan halaman rumah kami.
Aku mengerut dahi. Papa bosankah dengan ceritaku yang penuh nostalgia ? Bosan kerana bila ada sesuatu benda berlaku aku akan kaitkan dengan peristiwa yang aku alami semasa aku kanak-kanak.
Tyra kembali merapatkan kerusinya berdekatan aku.
" Mama ceritalah lagi... " gesanya sambil pegangnya di lenganku semakin kejap.
" Okey !...






Tiada ulasan: