23 Julai 2012

Hari Pertama Puasa 21hb Julai 2012


Hari ini bermulanya Puasa Ramadhan pada tahun 2012. Aku bangun bersahur pukul 5.10 pagi di temani oleh Boboy. Sekadar berlaukkan ikan goreng, ulam daun salad, pucuk pegaga dan timun di cicah budu beserta sambal tempoyak petai aku masih sempat menghabiskan sepinggan nasi. Boboy juga walaupun kelihatan mengantuk tapi masih boleh melicinkan nasi di pinggannya.
Papa sudah bersahur lebih awal pada pukul 3.30 pagi lagi. Dia bersahur sendirian kerana ketika dia mengejutkan aku untuk bersahur bersamanya, aku menolak kerana waktu masih terlalu awal.

Pagi ini juga sekitar pukul 8.30 pagi aku bersama papa dan Tyra pergi ke Pasar Pagi di Guchil mencari ulam. Papa terlalu obses dengan daun salad, ulam raja dan pegaga. Aku pula menambah seikat pucuk gajus yang berharga 50 sen sahaja. Selain itu papa juga membeli nenas.. Pemurah betul pakcik penjual tu bila dia tambah 1 biji lagi menjadikan 4 biji dengan harga RM5.00. Papa mencadangkan untuk membuat Pajeri Nenas. Aku menurut sahaja kata-kata papa apabila dia riuh mencari di setiap kedai runcit di dalam kawasan Pasar itu serbuk perencah Pajeri Nenas. Katanya di Mentakab ada menjual Serbuk Perencah Pajeri Nenas. Kesemua penjual di situ menggeleng kepala memberitahu tiada serbuk peket khusus untuk memasak Pajeri Nenas. Akhirnya aku membeli sepeket serbuk kari Adabi dan bahan-bahan lain sudah ada di dapur di rumahku.
Tyra pula mula bising .. Lapar..lapar..lapar.. Sebenarnya pagi ini aku belum memberi apa-apa sarapan kepada Tyra. Maklumlah orang lain semua berpuasa aku lupa si kecil Tyra juga terpaksa berpuasa. Alahai kesian Tyra yang baru berusia 4 tahun juga di ajar puasa.
Musim bulan puasa seawal pagi tiada orang meniaga air seperti kebiasaannya. Puas juga berpusing akhirnya terjumpalah satu gerai meniaga susu segar dan yougurt. Aku membeli untuk Tyra sebotol air perisa strawberi. Papa pesan.. "Minum dalam kereta."  Walaupun dahaga Tyra masih boleh bersabar dan menahan laparnya mengikut perintah papa. Selain itu juga papa membelikan Tyra kuih karipap 3 biji RM1 sebesar penumbuk aku setiap satu. Besar ter.. Ketupat pulut daun palas kegemaran Tyra aku beli hanya RM2 sahaja. Masa atas kereta baru aku perasan ketupat itu dah dekat nak basi sebab melekit dan bertali berlendir. Tyra dah pulun lima biji ketupat masa di atas kereta.
Dari Kuala Krai papa terus memandu ke rumah bonda di Lata Rek